Media Kelantan

January 13, 2010

Alahai Dr. Rosli…

Filed under: Catatan Santai — mediakelantan @ 4:13 am
Tags:

Baru-baru ini,(sebelum peristiwa lebih kusut melingkari kehidupan peribadinya) kami terima mesej ringkas dr. Rosli Allani tentang sidang media yang akan dilakukan menyentuh `penjelasan’ dan `perletakkan jawatan’.

Awalnya kami menyangka beliau ingin menjelaskan mengenai kenyataannya berhubung cadangan Dewan Pemuda Pas menggesa bos PMBK meletakkan jawatan segera dan kenapa membatalkan mesyuarat dengan tiba-tiba.

Juga soal mengapa beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas dengan tiba-tiba.

Tentunya telahan kami kerana tekanan yang dihadapi apabila begitu berani membuat kenyataan yang mungkin ditepis dengan
keras oleh MB.

Rupanya kami salah jangkaan. Di Restoran New Horizon, dalam nada suara yang agak tersekat tetapi laju beliau membacakan kenyataan akhbar.

Beliau menjelaskan mengenai status perkahwinan keduanya yang di bawa ke mahkamah oleh mertua dan perletakkan jawatannya bagi menjaga maruah parti.

Sambil itu kerana tersentuh dengan laporan media berhubung kes yang dikatakan mengaibkannya, beliau akan menyaman Utusan Malaysia, Harian Metro, bapa mertua dan peguam yang mewakili.

Beliau kemudiannya meminta izin berlalu dan meninggalkan kami bersama dua meja penuh hidangan yang ditempah.

– Kawan jadikan majlis raikan saman dan mendoakan kebahagiannya.

December 16, 2009

TABIK LAOS

Filed under: Catatan Santai — mediakelantan @ 4:36 am

`Tak seko’ (tak sangka) skuad Malaysia yang selalunya jadi budak belasahan melangkah ke perlawanan akhir bola sepak sukan Sea. Ia berlaku stadium di Vietiane itu yang sendat dipenuhi penyokong tuan rumah.

Di Kelantan semua peminat sukan itu pastinya tidak melepaskan peluang melihat pasukan Malaysia beraksi, biar pun tidak ke Laos kerana adanya siaran langsung yang masuk ke peti televisyen setiap rumah.

Tak seko, tak pula terjadi apa-apa di stadium itu untuk lebih mengasyikkan tontonan dan menggamatkan laporan media.

Tak kedengaran letupan mercun dan tak ternampak kelibat mereka membakar kerusi stadium, memecahkan pagar atau melontar botol ke arah pasukan lawan di tengah padang.

Yelah, pasukan mereka kalah tetapi boleh tahan juga perangai penduduk di negara anjung candi itu.

-Kawan yang sekadar jadi perantara.

SYABAS KAWAT

Filed under: Catatan Santai — mediakelantan @ 4:26 am

Kawan mengucapkan taniah kepada rakan-rakan di Terengganu yang memenangi Anugerah Kewartawanan Kawat-Exxonmobil 2009.

Syabas kepada jawatankuasa Kawat kerana tradisi tahunan itu dapat terus dijayakan dan majlis penganugerahan itu tentunya sentiasa dinanti-nantikan.

Ia mungkin seolah-olah bagai bonus tahunan kepada petugas-petugas media di negeri itu ketika mula melangkah ke tahun baru bersama azam baru.

Namun lebih daripada itu, anugerah seumpama itu biarlah dapat merangsangkan lagi untuk  meningkatkan mutu penulisan sejajar dengan perubahan zaman dan tuntutan keadaan.

Ia sekaligus diharap dapat membantu mengangkat kewibawaan petugas media di mata umum yang semakin kerap dipersoalkan. Memang sukar untuk menyuluh diri sendiri.

– Kawan yang tidak lupakan kawan.

December 5, 2009

Catatan Santai

Filed under: Catatan Santai — mediakelantan @ 9:48 pm
Tags: , , ,
MEMBACA KEPALA ANGIN
oleh Tok Wer

23 November. Ketika kemuncak orang pergi mengerjakan haji dan Tuan Guru sepatutnya sudah berada di tanah tanah suci tetapi gara-gara geger isu tajaan beratus ribu buat keluarga, ia terpaksa dilupakan.
Tempat di pejabatnya di Kota Darulnaim, ditemani menantunya peneraju PMBK. Di luar ketika itu hujan renyai. Kelantan dilanda banjir sekali lagi, ia suatu yang lumrah.
Langit kerap mendung, hujan mencurah dan sungai yang melimpah membawa sama lumpur dan sampah.
Ketika itu, mungkin bukan soal tersebut yang paling meresahkan dan menyedihkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tergambar dari raut wajahnya.
Namun musibah `lumpur’ dan `sampah’ politik yang terus menakung dalam persekitaran kepimpinan dan pentadbirannya mula memercik dan mencemari maruah dan keberkatan yang dijulang tinggi dan diyakini.
Beliau mengadakan sidang media. Di tangannya tergenggam akhbar lidah rasmi parti itu yang memuatkan laporan bahawa beliau diiktiraf sebagai individu Islam ke-42 paling berpengaruh di dunia bagi tahun ini.
Ia dilaporkan berdasarkan buku hasil kajian oleh satu pusat kajian strategik berpengkalan di Jordan yang menyenaraikan tokoh-tokoh Islam paling berpengaruh dalam lapangan.
Tetapi ketika itu beliau memaklumkan bahawa menantunya, Abdul Ariffahmi A. Rahman telah diarahkannya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK.
Ia susulan kepada laporan kemunculan SPRM di PMBK mendapatkan dokumen yang dikaitkan dengan dana.
Pelantikan menantunya ke satu tahap lagi pada September lalu, awal dipertahankannya sebagai seorang yang layak bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman dengan hujah berlandaskan agama dan politik.
Jangan samakan dengan soal kroni seperti pemimpin lain.
Namun Nik Aziz tidak dapat pertahan atas `kebenaran’ pandangannya. Ia suatu keputusan yang pastinya cukup sukar yang perlu dilakukan setelah menerima pandangan kepimpinan Pas Pusat setelah mereka menemuinya sehari sebelum itu.
Kedatangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama beberapa pemimpin lain bukan lagi untuk menjelaskan pelbagai isu yang tidak disenangi Nik Abdul Aziz berkait dengan kepimpinan Pusat.
Kali ini tentunya soal perlunya Nik Abdul Aziz membersihkan keadaan seperti mana pernah timbul kenyataan Nik Aziz bahawa ada kalangan pemimpin Pusat yang dikatakan membawa sampah ke dalam parti.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mengaitkan segala persepsi buruk berhubung dengan menantu yang dilantiknya sebagai suatu fitnah mainan blog dan diperbesarkan oleh media.
Media pula digolongkan dalam kumpulan namimah yang cuba mengaibkan nama dan keluarganya.
Namun isu yang berbangkit sebelum ini mungkin bukanlah sangat kerana pelantikan dianggap tidak sah ekoran pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang menyatakan menantu atau anggota keluarga tidak boleh dilantik.
Kalau bukan menantu tokguru pun ia tentunya dilaporkan.
Ada yang lebih besar dari isu di permukaan itu. Tentang bagaimana PMBk diuruskan. Soal hala tuju PBMK yang cuba dibawa dan sejauh mana ia melibatkan kepentingan rakyat daripada kepentingan pihak-pihak lain.
Setakat mana pula keuntungan yang boleh disandarkan harap kepada kerajaan dan negeri dengan sekian banyak aset berharga diberikan kepada perbadanan itu.
Ada yang melihat sejauh mana pula keuntungan dari segi politik bagi Pas dan mungkin orang-orang tertentu.
Apatah lagi ia melibatkan banyak perancangan projek besar yang masih belum jelas tahap pencapaiannya, sedangkan segala projek diwar-warkan begitu gah.
Dengan tunjangan kuasa, pengaruh dan kewangan, ada yang PMBK
boleh mencatur siapa yang bakal lebih dipercayai oleh Nik Abdul Aziz selaku bakal pengganti. Bahang konflik semakin meruap dan ramai yang menunggu dalam diam agar ia meledak.
Setiausaha Politiknya, Anuar Bakri Haron baru-baru ini mencatatkan
kata-kata Nik Abdul Aziz yang pernah didengarnya, seolah-olah mengingatkan sesiapa yang belum `matang’, jangan cuba bermain politik kuasa.
” Saya sudah tua sekarang ini dan hanya boleh membaca kepala angin.  Apakah akan bertukar menjadi ribut atau membawa sama hujan berdasarkan pengalaman saya.”
Nampaknya Nik Abdul Aziz seolah-olah tidak semudah itu lagi untuk membaca kepala angin sehingga tidak sedar ribut bakal melanda.

Blog at WordPress.com.