Media Kelantan

August 9, 2009

Kenyataan dari Wakil Kerajaan Negeri Kelantan

Filed under: Pengumuman — mediakelantan @ 8:27 am
Tags: ,

KOTA BHARU – Penganjur rombongan misi royalti anjuran kerajaan Kelantan ke pelantar minyak Cakerawala, kira-kira 150 kilometer dari muara Pengkalan Kubor di Tumpat mendakwa faktor cuaca punca kelewatan bot nelayan yang dinaiki kumpulan media tiba di perairan negara.
Jawatankuasa penganjur, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, artikel Kosmo 7 Ogos lalu bertajuk ‘misi royalti bertukar misi maut’ membawa konotasi negatif kepada kejayaan misi royalti anjuran kerajaan negeri pada 4 hingga 5 Ogos lalu.
Menurutnya, peserta dimaklumkan perjalanan menaiki bot yang disewa mengambil masa lapan hingga sembilan jam untuk tiba ke kawasan pelantar Cakerawala.
“Namun perjalanan pulang mengambil masa lebih lama disebabkan hujan dan laut yang bergelora di awal pagi. Pihak bot cuba menghubungi APMM untuk mengetahui lokasi mereka dan bukan untuk mendapatkan bantuan.
“Kemudahan jaket keselamatan disediakan termasuk yang dipinjam daripada APMM. Berlaku silap faham mengenai jumlah jaket keselamatan yang terlebih bilangannya di atas bot nelayan yang tidak dinaiki oleh pihak media. Disebabkan faktor masa, ianya terlupa diserahkan kepada wartawan Kosmo dan Utusan yang mengikuti misi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, mereka sepatutnya bertegas dalam hal itu untuk mendapatkan jaket keselamatan dan bukan menyalahkan penganjur selepas misi selesai kerana mereka tidak menimbulkan isu itu ketika diperiksa Polis Marin.
Katanya, mungkin kerana permintaan mereka menaiki kapal APMM ditolak menyebabkan mereka tidak berpuas hati dengan pihak penganjur. Pihak jawatankuasa penganjur kesal terhadap laporan yang kurang tepat itu.
Dr Rosli berkata, pihak jawatankuasa penganjur mengucapkan terima kasih di atas sokongan pihak media, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang membantu menjayakan misi itu.
“Kita mengharapkan Kerajaan Pusat menyegerakan pembayaran royalti ini. Tekong bot nelayan pun boleh mengesahkan pelantar Cakerawala terletak dalam perairan Kelantan berdasarkan sistem perhubungan mereka dan pengalaman mereka di laut, maka ia tidak memerlukan kajian terperinci menentukannya,” katanya.
Dalam laporan akhbar itu mendakwa penganjur hanya menyediakan bot nelayan bagi membawa kira-kira 30 petugas media daripada akhbar Utusan Malaysia, Sinar Harian, China Press, Nanyang Siang Pau dan sekumpulan blogger ke pelantar itu.
Perjalanan mereka kononya hanya mengambil masa lapan jam pergi balik tetapi mendakwa ia berlanjutan hampir 28 jam perjalanan sebenar.
———————————————————————————————-

Kenyataan ini diperolehi oleh wartawan Sinar Harian..Kosmo! dan Utusan Malaysia cuba untuk menghubungi salah seorang Exco, namun gagal mendapatkan jawapan…

Advertisements

Create a free website or blog at WordPress.com.